PEMBELAJARAN PERSEKITARAN MAYA FROG (FROG VLE)

     
Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (FROG VLE) merupakan suatu sistem pembelajaran yang berasaskan web. Ia menyerupai dunia pembelajaran sebenar kerana ia mengintegrasikan konsep pembelajaran konvensional melalui kaedah maya. FROG VLE ini diistilahkan sebagai intranet, pembelajaran bilik darjah online dan juga ruang sosial bagi warga-warga sekolah untuk berhubung hanya di bawah satu bumbung (FrogAsia, 2014). Sebagai contoh, guru-guru boleh memberi tugasan, ujian dan markah secara maya, sementara para pelajar boleh menghantar kerja rumah mereka dan menyemak markah yang diperolehi melalui FROG VLE. Ibu bapa pula boleh berkomunikasi dengan guru-guru dan pihak pentadbir sekolah melalui susunan takwim sekolah dan pemaparan notis melalui Internet.

     Pembelajaran Persekitaran Maya Frog (FROG VLE) diperkenalkan bagi memberi konsep baru dalam sistem pendidikan negara melalui kaedah pembelajaran berdasarkan pembelajaran maya. FROG VLE ini diperkenalkan untuk menggantikan sistem pendidikan lama yang bercorak konvensional. Tujuan utamanya adalah untuk membantu pelajar agar dapat memperolehi maklumat, menyesuaikan maklumat dan mengaplikasikannya sacara atas talian. Malah pelajar akan berpengetahuan luas atas hasil pembelajaran terancang daripada sistem pendidikan berkonsepkan maya. Oleh demikian, sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia dapat dihasilkan. Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan Frog VLE ini dapat memperkembangkan potensi pelajar dengan sepenuhnya.

   

TEORI FROG VLE

Teori Pembelajaran Kognitivisme
Teori ini menekankan proses pemikiran di sebalik tingkah laku, iaitu proses yang berlaku dalam fikiran pelajar. Implikasi Teori Kognitif dalam pengajaran ialah struktur pengetahuan lebih tersusun dan mempunyai organisasi, manakala pelajar berupaya untuk mendapat pengetahuan.
Untuk mengaplikasi teori kognitif dalam pengajaran, guru mesti melibatkan pelajar secara aktif. Contohnya, guru mesti memberi kawalan kepada pelajar dan memastikan pelajar boleh membuat latihan pada bila-bila masa. Selain itu, guru juga perlu memberikan perhatian kepada penstrukturan dan organisasi maklumat untuk memudahkan pemprosesan. Kekuatan teori ini adalah melatih pelajar dengan sesuatu kaedah yang sama dan seterusnya memupuk keseragaman dalam melakukan kerja. Manakala kelemahan teori ini adalah pelajar hanya belajar satu kaedah dalam melakukan sesuatu dan kaedah tersebut berkemungkinan bukan kaedah yang terbaik atau yang tersesuai dengan pelajar atau situasi pada masa tersebut.

Teori Pembelajaran Konstruktivisme
Pengetahuan dibina sendiri oleh murid secara aktif berdasarkan pengetahuan sedia ada. Teori ini menekan pembelajaran merupakan suatu proses yang aktif dan pelajar membina konsep baru atau pengetahuan baru berasaskan pengalaman. Setiap individu mempunyai perwakilan pengetahuan sendiri melalui pengalaman yang dialami. Pembelajaran berlaku apabila ketidakseimbangan berlaku di antara kerangka dengan maklumat baru.

Implikasi teori ini dalam pengajaran ialah: 
(i) guru mengalakkan pembelajaran melalui penemuan sendiri 
(ii) guru dan pelajar berinteraksi secara aktif
(iii) guru menyesuaikan pengajaran mengiku kefahaman pelajar 
(iv) guru menggunakan susunan yang paling aktif dan berkesan untuk memberi pengetahuan.

Kekuatan teori ini adalah pelajar merupakan penterjemah dalam pelbagai bidang, pelajar dapat menangani masalah sebenar dalam pelbagai bentuk. Manakala kelemahan teori ini adalah tiada keseragaman. Pelajar mempunyai perwakilan model mental masing-masing dan masalah mungkin timbul apabila setiap individu mengutamakan pandangan masing-masing.

Teori Pembelajaran Kognitif Multimedia
Kajian psikologi membuktikan bahawa maklumat verbal akan lebih mudah diingati jika disertai dengan imej visual. Menurut teori ini pelajar lebih mudah memindahkan pembelajaran mereka melalui arahan multimedia yang memberi kesan kepada kognitif (Cognitive Theory of Multimedia Learning). Hal ini secara tidak langsung dapat membantu proses kefahaman pelajar tersebut terhadap pengajaran yang disampaikan melalui pembelajaran persekitaran maya.
Manakala Zahari dan Maznah (2007) telah menggunakan Teori Pembelajaran Konstruktivisme dan Teori Pembelajaran Aktif dalam artikel yang bertajuk "Isu-Isu Antaramuka Dalam Sistem Pembelajaran Maya". Kajian yang dilakukan memfokuskan kepada penggunaan sistem penyampaian kandungan melalui rekabentuk skrin dalam sistem penyampaian kelas maya di classnetwork.net iaitu merupakan medium pembelajaran maya dalam sistem pendidikan di negara Brunei. Walaupun menggunakan classnetwork.net sebagai platform kepada pembelajaran maya namun ianya dianggap kaedah pembelajaran yang hampir sama dengan platform FROG VLE dari segi penggunaan konsep pembelajaran maya.

Teori Pembelajaran Aktif
Menurut Zahari dan Maznah (2007), Pembelajaran Aktif merupakan pembelajaran yang dapat dilihat dari tahap penglibatan pelajar dalam sesi pembelajarannya. Antara strateginya termasuk pembelajaran inkuiri, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran koperatif. Comets Workshop (2003:7) menjelaskan bahawa, dalam persekitaran pembelajaran aktif, pelajar membina pengetahuan konseptual dan memperolehinya (bahasa) melalui penglibatannya dalam aktiviti pembelajaran.
Teori Komunikasi
Menurut Sulaiman Masri (1997), komunikasi bermula apabila satu mesej (maklumat) daripada pengirim (penutur, penulis) dipindahkan menerusi alat atau saluran tertentu kepada penerima (pembaca, pendengar) yang kemudiannya memberikan maklum balas (merekod dan mentafsir) mesej tersebut. Pembelajaran yang diterima murid terutamanya dalam persekitaran maya memerlukan proses pemahaman yang lebih jelas. Arahan atau panduan yang akan diterima pelajar dalam mengikuti kelas maya amat penting untuk diterangkan secara jelas dan menarik. Oleh itu kemahiran komunikasi dalam kalangan guru adalah amat penting terutamanya dalam sekolah rendah demi menarik minat pelajar untuk memahami dan menggunakan Persekitaran Pembelajaran Maya (FROG VLE). Keberkesanan kemahiran komunikasi dalam kalangan guru perlu dititikberatkan supaya proses pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

IMPAK FROG VLE
Berdasarkan perbincangan yang telah dihuraikan sebelum ini, teori pembelajaran diintegrasikan melalui pembelajaran teradun (blended learning), maka kita sama sekali pastinya bersetuju bahawa konsep pembelajaran secara teradun ini mampu memberi impak yang positif kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam persekitaran maya. Teori Pembelajaran Konstruktivisme dilihat antara teori pembelajaran yang sesuai dan paling dominan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam persekitaran maya Frog (FROG VLE). Melalui pendekatan strategi pembelajaran aktif, pastinya dapat membantu proses pembelajaran pelajar. Dengan menggunakan platfom yang tersedia di dalam FROG VLE, guru boleh berkongsi bahan pengajaran sesuatu topik terlebih dahulu sebelum kelas. Hal ini membolehkan pelajar mendapat bahan pembelajaran yang akan diajar guru lebih awal dan boleh membuat persediaan dengan pembelajaran terarah kendiri. Melalui teori pembelajaran ini pelajar diberi peluang untuk menjalankan pembelajaran kendiri. Pengetahuan baru yang dibina dalam aktiviti akan secara tidak langsung digabungkan dengan pengetahuan sedia ada.






Comments

Popular Posts